• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

250 MPKK Dungun Sertai Kem Jati Diri MPKK Terengganu Sejahtera 2018

Peserta mendapat pendedahan dalam pelbagai slot dan aktiviti.

Seramai 250 peserta terdiri daripada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Dungun menyertai Kem Jati Diri MPKK Terengganu Sejahtera Siri Satu di Akademi Bomba Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang selama tiga hari bermula semalam.

Peserta terdiri daripada ahli jawatankuasa MPKK di 100 kampung dalam daerah tersebut.

Kem anjuran kerajaan negeri melalui Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) dan Terengganu Strategic & Intergrity Institute (TSIS) dilaksanakan sebanyak tiga siri melibatkan MPKK dari lapan daerah seluruh negeri Terengganu.

Raja Arizal Raja Arif.

Penolong Pengarah i-MITS, Raja Arizal Raja Arif berkata, program itu secara umumnya merupakan medium untuk menyampaikan dasar dan polisi kerajaan negeri yang baharu kepada pentadbir kampung.

"Kita perlukan MPKK yang menjiwai tugas dan komited untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Beliau yang merupakan pengarah program turut menyatakan kem Jati Diri MPKK juga menjadi medan pertemuan antara pejabat daerah dengan MPKK Daerah Dungun.

"Disebabkan itu, kita mulakan program dengan slot Kesejahteraan Pentadbiran Desa bersama Penolong Pegawai Daerah Dungun, Ahmad Bukhari Abdul Rahman," katanya.




Tag: