Pulau Bidong Diwartakan Sebagai Taman Negeri Lindungi Khazanah Biodiversiti
250 Pelajar Asnaf Terima Zakat MySutera
Gambar : Amirullah Mansor
DUNGUN, 1 Mac- Seramai 250 pelajar asnaf menerima zakat MySutera dalam bentuk simpanan di akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime@Simpan SSPN Prime.
Ketua Pegawai Korporat, My Sutera Sdn. Bhd. ,Mohd Erfino Johari berkata, sumbangan zakat tersebut adalah hasil inisiatif dan kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Sebagai usaha menyubur didik para ibu bapa dan penerima bantuan agar memberikan fokus kepada keperluan pendidikan, budaya dan tabiat menabung serta menyuntik keyakinan bahawa kecemerlangan pendidikan adalah wadah terbaik untuk generasi muda mengorak langkah berbakti kepada agama, bangsa dan negara di masa hadapan, " ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Wakalah Zakat MySutera Sdn. Bhd. Dengan Kerjasama PTPTN yang diadakan di Dewan Darul Bayan, Paka, baru-baru ini.
Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat itu turut dihadiri ADUN Wanita, Zuraida Md Noor dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.
Beliau turut menerima 'mock check' bernilai RM25, 000 sebagai gimik penyerahan zakat yang melibatkan 50 orang pelajar asnaf di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka, Chukai, Rhu Rendang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk.
Ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, Satiful berkata Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan membantu pelajar-pelajar kelahiran Terengganu untuk menyambung pengajian di dalam bidang agama di luar negara.
"Ini termasuklah yang ingin melanjutkan pelajaran ke Mesir, Jordan, Turki dan negara terbaharu Algeria," katanya.
Tambahnya lagi, manakala kepada yang ingin memilih bidang kedoktoran, kerajaan negeri tidak akan menghantar keluar negeri.
"Sebaliknya mereka boleh menyambung di Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) atau Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) memandangkan kos yang tinggi di luar negeri," jelasnya.