28 Buah Rumah Tercabut Atap Di Padang Kubu
KEMAMAN, 20 Mei - Sebanyak 28 buah rumah tercabut atap akibat ribut berserta hujan lebat yang melanda di Kampung Padang Kubu kelmarin.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Kubu, Sudin Muda ketika ditemui semasa lawatan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman.
"Kejadian berlaku pada petang kelmarin disebabkan oleh angin kencang berserta hujan lebat menyebabkan kebanyakan atap rumah di sini tercabut.
"Rumah yang terlibat merupakan rumah pekerja ladang dan pekerja kilang di kawasan ini," katanya.
"Ini juga disebabkan oleh faktor di mana sebahagian daripada pokok sawit di kawasan ini telah ditebang untuk ditanam dengan pokok yang baharu, menyebabkan angin yang datang terus ke kawasan penempatan tanpa halangan," ujarnya.

Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh bergegas ke lokasi bersama Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid, Pengurus Kilang Hasan Osman dan Pengurus Ladang Abdul Kahar Abdul Wahab setelah mendapat laporan tersebut .
Bantuan telah digerakkan oleh pihak pengurusan TDM Plantation bagi membaik pulih kerosakan rumah di penempatan tersebut dengan seberapa segera untuk keselesaan pekerjanya.
Dalam masa yang sama, selain daripada Kampung Padang Kubu, di kampung lain juga turut dilanda ribut di luar jangka itu.

Hazri sempat meninjau bersama pegawainya di Kampung Darat Kijal di mana sebatang pokok tumbang dan menimpa bahagian dapur rumah seorang penduduk di situ dan bersedia membantu membaiki kerosakan rumah tersebut dengan peruntukan yang ada.