• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

280 Pelumba Motocross Berentap Di Gong Badak Terengganu

Antara peserta yang mencuri tumpuan.
KUALA NERUS, 3 Ogos - Seramai 280 pelumba sukan motocross dari seluruh Semenanjung Malaysia berentap dalam kejohanan KBS Motocross Championship 2019 di Gong Badak yang bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program kali pertama diadakan di Terengganu itu mendapatkan sambutan yang menggalakkan dalam kesemua 12 kategori pertandingan.

Jelasnya, kejohanan dua hari itu melibatkan pelbagai lapisan umur peserta, iaitu bermula daripada 18 hingga 60 tahun.

“Program seumpama ini secara tidak langsung dapat menggalakkan orang ramai untuk menggayakan minat dan budaya hidup mereka dengan cara yang sihat.

“Ia juga dapat memupuk minat anak muda Terengganu untuk turut serta dalam sukan lasak ini dan dalam masa yang sama, kepakaran yang mereka ada tidak disalahgunakan untuk perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya.

Wan Sukairi bersalaman dengan peserta yang terlibat dalam kejohanan itu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang dalam kategori Open Enduro, di Litar Permotoran Gong Badak, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Terengganu, Mohd Soufi Mohd Ibrahim serta pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan.

Menurut Wan Sukairi lagi, Terengganu sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti sukan yang memupuk dan membina jati diri anak-anak muda bagi membina pelapis kepimpinan negeri yang berkualiti.

“Kita mengharapkan pada masa akan datang, lebih banyak lagi program-program seperti ini mahupun yang lebih besar lagi termasuk penyertaan dari dalam dan luar negara dilaksanakan.

“Saya juga difahamkan, hujung tahun ini akan ada kejohanan motocross terbesar yang membabitkan peserta dari luar negara, ia akan berlangsung di Pantai Mak Nik, Kemaman,” tambah beliau.



Tag: