• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

29 Kedai Menu Rahmah di Terengganu

KUALA NERUS, 13 Februari – Sebanyak 29 buah kedai makan telah melaksanakan menu Rahmah di seluruh negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata menu Rahmah menjadi pilihan bagi pengguna untuk membeli makanan dengan harga yang lebih murah.

Katanya, daripada 29 buah premis berkenaan, sebanyak 17 di Kuala Terengganu, tiga di Kuala Nerus, dua di Marang, Kemaman, Dungun dan Besut serta satu di Hulu Terengganu.

"Menu Rahmah ini sangat popular dan telah dilaksanakan di pasar raya besar mahupun dalam kalangan peniaga-peniaga kecil.

“Bahkan kedai yang tidak bernaung di bawah persekutuan juga turut berminat untuk terlibat dalam menyediakan menu Rahmah kepada pengguna," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang media Pelaksanaan Menu Rahmah di Negeri Terengganu bertempat di Kedai Tokmi Selera Kampung, Telaga Daing di sini hari ini.

Tambah Saharuddin, kebanyakan peniaga yang menawarkan menu Rahmah itu bertujuan bagi membantu masyarakat dengan kos sara hidup yang tinggi pada masa sekarang.

"Menu Rahmah merupakan set makanan tengah hari atau malam yang seimbang dan mesra pengguna," katanya.

Beliau berkata, pilihan menu Rahmah berbentuk nasi satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran dengan harga RM5 ke bawah.

Di samping, dengan tawaran harga yang berpatutan itu dapat membantu golongan yang terkesan dengan kenaikan harga barang terutamanya melibatkan keperluan.

“Pelaksanaan menu Rahmah ini telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat Terengganu dan banyak lagi kedai yang akan menyusul dalam masa terdekat,” ujarnya.

 


Tag: