• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

2,992 Pegawai, Anggota Polis Diatur Gerak Hadapi Banjir

HULU TERENGGANU, 19 Disember - Seramai 2,992 orang pegawai dan anggota Polis Kontinjen Terengganu sedia digerakkan dalam menghadapi bencana banjir yang sudah melanda negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ketika banjir yang melanda Terengganu semakin buruk apabila semakin ramai mangsa dipindahkan dan berlaku pertambahan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut beliau, pihaknya ada menerima penambahan aset bagi menghadapi banjir kali ini dari beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) antaranya Kemaman, Besut dan Setiu.

"Kita tidak ada masalah dari segi kekuatan anggota bagaimanapun pihaknya mempunyai kekangan sedikit dari segi pengangkutan terutama untuk kerja-kerja memindah dan menyelamat mangsa banjir ke PPS.

"Buat masa ini kita guna aset-aset dari Terengganu sendiri dan kita turut memohon bantuan aset daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) selain aset Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persatuan (PSP).

"Tapi itu tidak mencukupi lagi, malah kita di maklumkan pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu akan memohon daripada Putrajaya bantuan segera dari segi aset jentera berat," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di PPS Kampung Kua, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kelewatan bekalan makanan tiba di PPS, beliau berkata, semua pihak yang terlibat terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah buat yang terbaik dalam menyampaikan bantuan.

"Ini kerana kita tiada satu kenderaan yang berat, bot yang kuasa mencukupi untuk meredah arus yang deras dan satu lagi masalah adalah tempat itu sendiri yang baru pertama kali dilanda banjir.

"Jadi tiada persediaan awal bagi pihak kita dan ia tidak dijangka sebelum ini jadi kita harap mereka (mangsa) dapat bersabar kerana kita  terima semua maklumat tersebut berikutan semua bilik gerakan kita beroperasi dengan baik," katanya.