• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

3 Menara Baharu Dibina Di Tepoh Melalui JENDELA

KUALA TERENGGANU, 15 November -  Tiga menara baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh akan dibina melalui pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, tindakan tersebut yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk memastikan kawasan berkenaan mendapat liputan telekomunikasi.

"Selain itu 35 struktur pemancar juga akan dinaik taraf kepada liputan 4G dan 1,825 premis akan diliputi dengan gentian optik (FTTH). 

"Sehingga suku Ke-3 tahun 202, sebanyak 1 menara telah siap, manakala 25 stesen pemancar telah dinaiktaraf kepada 4G dan 1,001 premis telah diliputi gentian optik," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bagi menjawab soalan bertulis  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas ( Bajet), di Wisma Darul Iman (WDI), pada hari ini.

Hishamuddin turut bertanya adakah kerajaan negeri memiliki maklumat tentang kawasan yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi di DUN berkenaan serta apakah tindakah segera pihak kerajaan dalam memastikan semua kawasan di negeri ini mendapat liputan telekomunikasi.

Ariffin berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau pelan JENDELA berkenaan dari masa ke semasa bagi memastikan rakyat khususnya di DUN Tepoh akan dapat menikmati liputan telekomunikasi rangkaian 4G bagi menggantikan 3G yang akan ditutup hujung tahun ini.

"Pelan tersebut juga mensasarkan 100 peratus rangkaian liputan 4G di seluruh kawasan berpenduduk akan dapat dicapai dan akan mempunyai liputan komunikasi berkelajuan purata 100 Mbps di seluruh negeri menjelang tahun 2025," ujarnya lagi.


Tag: