• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

30 Anak Terengganu Dipilih Sebagai Pembantu Sajian Di Syarikat Brahim's

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama Syarikat Brahim’s SAT Food Service Sdn Bhd menyediakan peluang kepada 30 anak Terengganu berkhidmat sebagai pembantu penyajian (CA) di syarikat Brahim’s yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bermula 8 Januari lalu.

Mereka terpilih daripada 216 permohonan sejak dibuka kepada rakyat Terengganu pada 30 November tahun lalu.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata kesemua yang dipilih merupakan anak Terengganu yang terdiri daripada dua orang ibu tunggal, 18 anak ibu dan bapa tunggal serta 10 orang belia dan beliawanis yang akan mengisi  jawatan sebagai pembantu penyajian (CA). 

“Pihak kami akan mula menghantar kelompok pertama ini secara percuma menggunakan bas daripada Terengganu kepada syarikat Brahim’s nanti.

“Ini adalah sebahagian daripada intipati kerjasama yang dirancang di mana YPKT akan membekalkan tenaga kerja yang berkelayakan kepada  syarikat Brahim’s yang merupakan pembekal makanan inflight terbesar di negara ini dan pihak mereka akan menyediakan prasarana, pengangkutan ke tempat kerja dan kemudahan makan minum secara percuma kepada pekerja tersebut,”katanya dalam satu kenyataaan kepada media hari ini.

Tambah Mohd Shafaruddin lagi,usaha murni ini adalah kesinambungan daripada majlis menandatangani memorandum persefahaman(MoU) di antara YPKT dan Brahim's yang ditandatangani pada 6 Disember tahun lalu dengan memberikan peluang pekerjaan kepada warga Terengganu yang berdaftar di YPKT.


Katanya, antara syarat pengambilan dan kelulusan bagi perkhidmatan itu ialah minima lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan pengalaman dalam bidang penyajian hotel serta restoran  umur lingkungan 20 - 35 tahun terdiri daripada belia beliawanis (bujang) atau ibu tunggal.

Beliau berkata, Syarikat Brahim’s turut menawarkan pelbagai kemudahan dan faedah antaranya gaji pokok sebanyak RM1,200 sebulan dengan elaun kerja syif berjumlah RM85 hingga RM110, asrama dan pengangkutan disediakan termasuk pelbagai kemudahan lain yang bakal dinikmati oleh para pekerja nanti.



Tag: