• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

30 Kucing Diselamatkan Petugas Banjir

Oleh: Pok Abbas

KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Dalam kekalutan membantu mangsa banjir di Jalan Terkukur di sini, petugas banjir daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sempat menyelamatkan 30 ekor kucing terbiar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kesemua kucing yang terperangkap di dalam air itu telah dipindahkan ke tempat yang selamat. 

"Termasuk juga ikan-ikan hiasan milik penduduk turut diselamatkan dan ditempatkan sementara di pusat pemindahan di Balai Raya Jalan Tekukur," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu itu berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Khidmat Banjir DUN Ladang di Balai Raya Jalan Tekukur, semalam.

Dalam lawatan itu, Tengku Hassan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada mangsa banjir di pusat berkenaan.

Katanya, pusat berkenaan yang beroperasi 24 jam itu dibuka untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan dikendalikan oleh  MPKK di DUN tersebut. 

"Mangsa banjir yang memerlukan bantuan makanan boleh mendapatkannya di pusat ini," ujarnya.