• 20 Jan 2022 | 16 Jamadil Akhir 1443

300 Hektar Tanah Terbiar Berjaya Dibangunkan

KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Sebanyak 300 daripada 8,000 hektar  projek pemulihan tanah terbiar berjaya dibangunkan dibawah Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata ia membabitkan tiga projek utama pertanian dan beberapa projek berskala kecil.

"Tiga projek utama itu melibatkan penanaman nanas MD2 di Kampung Pak Kancil, Setiu sebanyak 140 hektar, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Setiu(mangga harum manis seluas 40 hektar) dan penanaman durian jenis Musang King di RTB Kampung Rahmat seluas 60 hektar.

"Selebihnya berbentuk projek berskala kecil melibatkan tanaman kontan seperti tembikai, labu dan jagung yang diusahakan secara individu," katanya kepada pemberita.

Azman juga mensasarkan 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 8,000 hektar tanah terbiar dapat dipulihkan seperti yang dirancang.