300 Pelajar PERMATA UPSI Sertai Bacaan Yasin Dan Tahlil
DUNGUN, 10 Jun - 300 orang pelajar Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
Beliau yang juga merangkap 'bapa angkat' PERMATA UPSI berkata, inisiatif itu diadakan bagi menzahirkan kedukaan di atas kehilangan sebilangan mahasiswa Terengganu dalam kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi semalam.
"Mewakili kerajaan negeri, saya merakamkan ucap takziah dan berdoa dikurniakan kesabaran buat ahli keluarga pada penuntut terlibat.
"Ujian ini merupakan hak Allah SWT buat insan yang terpilih, "katanya.
Mohd Fadhli berkata demikian dalam ucapan ringkas di majlis diadakan menerusi aplikasi 'Google Meet' selepas solat Maghrib di Masjid Hadhari Jerteh, sementara menanti ketibaan konvoi 15 van jenazah yang membawa pulang para 'mahasiswa' itu, semalam.
Beliau turut berpesan kepada mahasiswa yang sedang berada di kampus supaya tidak pernah patah semangat untuk terus belajar.
"Teruskan perjuangan untuk belajar demi kejayaan masa depan," ujarnya.
Sementara itu, tragedi yang menggemparkan negara itu turut melibatkan enam Exco PERMATA.
Mereka adalah Wan Normashitah Wan Hussin, Siti Nurnajihah Shihabuddin, Nur Liyana Zainudin, Lili Suzana Mat Ya’acob, Wan Nur Farah Syuhada Wan Ibrahim dan Aimi Nasuha Che Azmi.