• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

300 Peserta Fun Ride Hidupkan Malam Terakhir Ramadan

MARANG, 28 April- 300 anak muda mengambil peluang menyertai program 'Fun Ride Sahur' bagi menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan melakukan aktiviti beriadah sambil beramal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, bulan Ramadan bukan penghalang untuk anak muda kekal aktif melakukan aktiviti berbasikal terbabit.

"Program yang diadakan ini juga memberikan penekanan kepada anak muda agar menggunakan kekuatan yang dimiliki untuk melazimi solat jemaah di masjid serta surau dan menghidupkan malam terakhir di bulan ini untuk memperbanyakkan amalan seperti berzikir, solat tahajud dan membaca al-Quran.

"Juga melalui bulan yang mulia ini kita mengambil semangat peperangan badar mencontohi golongan terdahulu untuk sentiasa bersemangat dalam perjuangan bagi menegakkan syiar Islam dan menyampaikan mesej dakwah kepada seluruh masyarakat bahawa Islam tidak melarang untuk umatnya melakukan apa jua aktiviti dan kegiatan yang mendatangkan faedah untuk dilakukan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program 'Fun Ride' Sahur Marang 2022, di Dewan Terbuka Sena Rendang, Bukit Payung, di sini, pada hari ini.

Turut serta, Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, yang Dipertua Majlis Daerah Marang Merangkap Pemangku Pegawai daerah, Haji Zuwislan Awang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pada program terbabit, para peserta melakukan kayuhan sejauh 15 Kilometer (KM) dengan menjadikan Masjid Rusila, Masjid Kubang Ikan sebagai tempat persinggahan untuk acara menyampaikan sumbangan kepada 50 asnaf yang layak membabitkan DUN Rhu Rendang, Batu Burok dan Bukit Payong.

Di mana ia telah bermula dari pejabat daerah pada jam 10 malam dan berahir di Dewan Terbuka Sena Rendang pada jam 12 malam.

Pada program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong dengan kerjasama Pejabat daerah itu juga, turut diserikan dengan acara cabutan bertuah dengan hadiah utamanya ialah TV 40 inci serta dua buah basikal.