• 05 Dis 2020 | 19 Rabiul Akhir 1442

3,000 Bungkus Gulai Ayam untuk Juadah Berbuka Puasa

KUALA NERUS, 1 Mei - Sebanyak 3,000 bungkus gulai ayam disediakan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir untuk masyarakat sekitar sebagai menu berbuka puasa.

Pegawai Penyelaras DUN,  Mohd Fazil Wahab, berkata lauk berkenaan diberikan bagi meringankan sedikit perbelanjaan harian penduduk dan memberi kelainan sempena bulan puasa kali ini.

"Kita agihkan gulai ayam ini sedikit sebanyak mengurangkan  kos untuk penyediaan lauk bagi berbuka puasa setiap keluarga yang berkenaan.

"Sebelum ini kita dah agihkan bahan mentah, jadi apa salahnya kita berikan makanan yang boleh terus dimakan tanpa perlu dimasak," ujar beliau ketika ditemui di Perkarangan Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir, petang tadi.

Gulai ayam diserahkan kepada Pengerusi MPKK untuk diagihkan ke kawasan masing-masing

Menurut Fazil lagi, juadah ini sebenarnya menunjukkan kebersamaan Pejabat Khidmat Masyarakat dalam merasai denyut nadi rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) masih lagi dilaksanakan.

"Kita agihkan lauk ini sebenarnya untuk kita berkongsi suka duka masyarakat yang berada dibawah jagaan kita.

"Kita tahu bukan semua yang dapat merasa, tetapi ia memberi makna kepada keluarga yang serba kekurangan," tambah Fazil lagi

Menurut beliau, semua lauk tersebut diagihkan kepada 19 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di dalam DUN Seberang Takir.

"Ia  diwakili oleh Pengerusi MPKK untuk mengambilnya dan diagihkan kepada masyarakat dalam kampung mereka," katanya.


Tag: