• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

30,000 Pengunjung Banjiri Sambutan Hari Kebangsaan

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos- Kira-kira 30,000 pengunjung membanjiri jalan sepanjang laluan Majlis Perarakan dan Perbarisan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, sejak awal pagi tadi setelah dua tahun acara itu tidak diadakan.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati suasana agak sesak di sepanjang laluan perarakan namun tetap terkawal di bawah seliaan polis trafik Kuala Terengganu.

Perarakan yang bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) itu melibatkan laluan sepanjang 4.4 kilometer dan berakhir di Taman Awam Batu Burok disertai 3,835 peserta terdiri daripada kakitangan jabatan, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, kumpulan pancaragam dan badan bukan kerajaan (NGO).

Bagi merealisasikan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama, sebanyak 84 pasukan dalam kategori bertanding, 19 pasukan dalam kategori tidak bertanding dan empat pasukan kategori kenderaan terlibat pada tahun ini berarak hampir dua kilometer lebih jauh berbanding laluan perarakan pada tahun 2019.

Jarak laluan yang dipanjangkan pada tahun ini bagi memberi peluang kepada rakyat negeri Terengganu untuk sama-sama melihat sambutan hari kebangsaan tahun 2022 memandangkan telah dua tahun acara berkenaan tidak diadakan.  

Dalam program tersebut, pasukan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun 2019 apabila muncul johan Pertandingan Perarakan dan Pembarisan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 bagi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform.

Pasukan berkenaan menerima hadiah tunai bernilai RM5,000 berserta piala pusingan dalam acara yang melibatkan keseluruhan hadiah berjumlah RM103,000.

Hadiah tersebut dikurniakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu yang berkenan mencemar duli menghadiri acara yang diadakan di Dataran Pantai Batu Burok.
Turut mengiringi keberangkatan Yang Di-Pertuan Muda ialah Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

 


Tag: