• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

301 Peserta Undi Lot RTB Pertanian Di Kijal

KEMAMAN, 25 Februari - Seramai 301 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian (Kelapa Sawit) Felcra Lubuk Dalam 4, membuat undian lot masing-masing, semalam.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap di majlis perasmian mengucapkan syukur dan tahniah kepada pegawai agensi yang terlibat dan peserta yang terpilih menyertai RTB tersebut.

"Alhamdulillah, syabas dan tahniah kepada kakitangan Felcra dan Pejabat Tanah Kemaman yang terlibat dalam menjayakan RTB ini dan semua yang terpilih menyertainya.

"Setelah sekian lama menunggu semenjak kerajaan yang lalu, banyak RTB pertanian berjaya diselesaikan dengan beberapa pertemuan dan proses teknikal dilakukan," katanya di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal.

Hazri menyantuni salah seorang peserta.

Menurut beliau, nilai semasa tanah RTB tersebut adalah RM100 ribu seekar dan peserta perlu membayar premium sebanyak RM40 ribu (empat ekar) dalam kadar 10 peratus daripada harga tersebut. 

"Pada bulan Disember lepas, kami bersama Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Felcra di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu premium ini.

"InsyaAllah, keputusannya agak positif bagi mengurangkan kadar premium ini dan ianya masih berjalan dan harapan agar ianya berjaya dikurangkan dengan kaedah yang dicadangkan," ujarnya.

Sebahagian peserta yang hadir.

Dalam masa yang sama, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh turut menerangkan proses selanjutnya selepas undian lot kepada peserta.

"Tempoh tiga bulan pertama yang berikan kepada peserta boleh lagi dilanjutkan ke tiga bulan seterusnya dengan memaklumkan kepada kami sebelum tamat tarikh tersebut.

"Kepada peserta yang bermasalah dari segi kewangan untuk membuat pembayaran premium tanah ini didalam tempoh yang diberikan, bolehlah merujuk kepada pihak kami untuk dipermudahkan," jelas beliau.

Turut hadir Ketua Bahagian Khidmat Sokongan Felcra Berhad Wilayah Timur, Sulaiman Mohamad, Pegawai Pemasaran Felcra Wilayah Timur, Mohamad Ismail dan Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kemaman Mohamad Hafiz Che Awang.