• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

30,324 OKU Berdaftar Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu merekodkan seramai 30,324 individu berstatus orang kurang upaya (OKU) berdaftar di negeri ini sehingga Jun  2022.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya menerusi JKM akan meningkatkan lagi pendaftaran OKU yang belum berdaftar supaya bantuan selayaknya dapat disalurkan kepada mereka selain memperkasa golongan berkenaan.

Katanya, ia sebagai tanda kecaknaan kerajaan negeri yang sentiasa mengambil berat terhadap golongan kanak-kanak OKU yang juga kumpulan sasaran yang sentiasa diberi perhatian.

"Sehingga Jun ini pendaftaran  yang paling tinggi membabitkan OKU pembelajaran (12,747 orang), fizikal (8,735 orang), dan penglihatan (2,651).

"OKU pendengaran pula seramai 2,390, mental (2,227 orang),  pertuturan (162 orang) manakala OKU pelbagai pula 1,411 orang," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Bersama Warga OKU Negeri Terengganu di Hotel Permai di sini hari ini.

Tambah Hanafiah, berdasarkan anggaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus populasi negara adalah terdiri daripada golongan OKU atau 4.8 juta populasi OKU di negara ini.

"Justeru itu, saya menyeru semua individu OKU dan penjaga OKU yang masih belum mendaftar diri sendiri atau anak-anak OKU di bawah jagaan mereka untuk mendaftar di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, tujuan pendaftaran itu bukan semata-mata mendapat bantuan kewangan tetapi keistimewaan kad bagi memastikan keberadaan dan keperluan OKU.