• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

311 Mangsa Banjir DUN Ajil Terima Bantuan Banjir

HULU TERENGGANU, 27 Oktober - Seramai 311 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil menerima sumbangan Bantuan Pasca Monsun Timur Laut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bernilai RM155,500 semalam.

Adunnya, Maliaman berkata, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta pelbagai pihak yang tampil memberi sumbangan kepada mangsa banjir setiap kali bencana itu melanda.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menghadapi musibah banjir, terutama dari segi menggantikan keperluan rumah yang rosak akibat bencana alam ini.

"Kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada semua yang sudi memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk dan berharap jalinan erat ini akan terus berjalan lancar," katanya dalam satu majlis ringkas di Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Terengganu semalam.


Sementara itu, penerima, Zainon Awang Lah, 69, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang tampil menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Ini adalah sumbangan pertama yang saya terima untuk banjir kali ini. Ia sedikit sebanyak membantu saya sekeluarga untuk membeli barang dapur dan keperluan rumah.

“Lagipun, gelombang kedua banjir diramal berlaku, tidak lama lagi. Justeru, kami perlu bersiap sedia menghadapi musibah ini.

Bagi Anuar Sulaiman 47 pula, dia dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dia sekeluarga serta mangsa banjir lain.

“Memang banyak harta benda musnah, namun kami reda kerana banjir sudah menjadi lumrah alam tetapi sedikit sebanyak bantuan yang diterima setakat ini meringankan bebabn kami,” katanya.