• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

319 Calon SPM Sekolah Terjejas Banjir Dipindahkan

KUALA TERENGGANU, 1 Mac-  Seramai 319 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di negeri ini telah dipindahkan ke sekolah lain yang sesuai untuk memastikan mereka dapat menjalani peperiksaan itu dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata kesemua mereka adalah pelajar di empat sekolah iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu dan satu di Kemaman."

Di Hulu Terengganu, 131 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dipindahkan ke SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, 63 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Hulu Terengganu dipindahkan ke SM Imtiaz Kuala Terengganu dan 41 calon Madrasah Moden Hulu Terengganu dipindahkan ke SMA Khairiah di Kuala Terengganu.

"Di Kemaman pula, 84 calon SMK Air Putih telah dipindahkan ke SMK Cheneh Bharu," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Satiful berkata, kesemua pelajar ini adalah pelajar yang tinggal di asrama di sekolah-sekolah yang terletak di kawasan yang terjejas banjir di dua daerah berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, hanya pelajar yang benar-benar terjejas akan diberi kelonggaran untuk berpakaian biasa ketika mengambil peperiksaan.

"Mana-mana pelajar terjejas yang hilang pakaian sekolah kerana dihanyutkan air atau dokumen penting seperti kad pengenalan dan sebagainya diberikan kelonggaran.

"Ada juga sekolah yang menyediakan pakaian seragam di sekolah dan pelajar boleh menukarkan pakaian apabila tiba di sekolah untuk mengambil peperiksaan," katanya.

Difahamkan, seramai 18,815 calon yang akan menduduki peperiksaan SPM di Terengganu, Rabu ini.