• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

32 Lagi Peserta Tanah Terkilan DUN Telemong Terima Geran Hak Milik

 

HULU TERENGGANU, 21 Oktober - Seramai 32 orang peserta tanah terkilan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bukit Sirih, Kampung Kemat menerima geran milik tanah, baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata kerajaan negeri terus mengotakan janji manifesto dengan penyerahan geran tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan 2004.

"Alhamdulillah, hadiah kerajaan kepada rakyat, setelah hampir 20 tahun menunggu saat ini. Penyerahan geran hak milik tanah ini membuktikan kerajaan negeri sangat komited menyelesaikan masalah rakyat.

"Ini adalah gambaran jelas bahawa kerajaan memang bersimpati dengan apa yang dihadapi oleh mereka yang sebelum ini mendapat tanah dan akhirnya dinafikan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Kepada Peserta Tanah Terkilan RTB Bukit Sirih yang diadakan secara pandu lalu di Perkarangan Pejabat Daerah Hulu Terengganu.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau,  Dr Mamad Puteh bersama Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kemat, Kamaruddin Ali berkata, beliau berasa lega dan bersyukur kerana berjaya mendapatkan kembali tanah yang diusahakan oleh perserta selama hampir 20 tahun lalu.

"Terima kasih di atas kesungguhan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong dan Pejabat Tanah yang bertungkus lumus menyelesaikan permohonan peserta memandangkan ianya telah berlarutan begitu lama, sejak 2004 lagi, tapi Alhamdulillahlah, permohonan ini berjaya juga akhirnya." ujarnya.

Turut berlangsung dalam majlis yang sama, penyerahan geran hak milik tanah kepada peserta RTB Air Itam, Sungai Lila di Kampung Pelam seramai 21 orang peserta.