• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

320 Ekor Ayam Diagih Kepada Penduduk Terlibat PKPD

DUNGUN, 19 Julai- Sebanyak 320 ekor ayam telah diagihkan kepada penduduk Gong Pasir yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) sebagai usaha menjaga kebajikan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, inisiatif tersebut dilakukan kerana menyedari mereka menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bekalan dalam meneruskan kehidupan seharian setelah dikenakan PKPD sejak 10 Julai lalu.

"Agihan ayam pada hari ini adalah mengira kesukaran untuk mendapatkan bekalan untuk lauk pauk memandangkan pergerakan mereka yang terhad, walaupun seorang dari satu keluarga dibenarkan keluar, itu pun kalau di kawasan ini tiada barang yang amat diperlukan dan perlu mendapat kebenaran pegawai bertugas di pondok sekatan," katanya selepas agihan tersebut dilakukan, semalam. 

Menurutnya, PKPD yang akan berakhir pada 23 Julai itu, melibatkan 120 orang sebahagian penduduk di Kampung Gong Pasir, 130 orang  Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, 40 orang yang berada di Taman MAIDAM dan selebihnya yang tinggal di sekitar ketiga-tiga tempat tersebut. 

"Jadi diharapkan mereka banyak bersabar apatah lagi terpaksa berhari raya di dalam tempoh PKPD kerana ini adalah kebaikan kita bersama untuk mencegah penularan pandemik COVID-19," ujarnya lagi. 


Tag: