• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

3,200 Sukarelawan Belia Siap Siaga Hadapi Banjir

KUALA TERENGGANU, 29 November- Seramai 3,200 sukarelawan belia di Terengganu telah bersedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut pada bila-bila masa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sukarelawan ini bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk pasca banjir di seluruh kawasan yang terkesan di Terengganu.

“Kira-kira 300 hingga 400 sukarelawan akan berkhidmat di setiap daerah dan membantu mangsa ketika banjir melanda dan selepas bencana termasuk membantu membersihkan kediaman penduduk yang tercemar akibat banjir.

"Setakat ini, semua peralatan termasuk alat komunikasi telah disediakan untuk kegunaan bersama-sama agensi pasukan penyelamat dalam membantu mangsa di kawasan berisiko dilanda banjir serta di pusat pemindahan sementara (PPS),”ujarnya kepada pemberita.

Tambahnya lagi, sekiranya terdapat daerah yang dilanda banjir teruk maka mereka boleh dikerah ke kawasan tersebut bagi memastikan bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik.

Dalam masa yang sama, pihaknya akan memastikan semua sukarelawan akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika memberi bantuan untuk mengelak penularan COVID-19 sepanjang musim tengkujuh.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula awal November ini akan berlarutan sehingga Mac 2022 dengan empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan boleh menyebabkan kejadian banjir sepanjang tempoh berkenaan.