• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

322 Nelayan Seberang Takir Terima Bantuan Tengkujuh

KUALA NERUS, 4 Januari – Lebih 300 orang nelayan di sekitar Seberang Takir yang rezekinya terjejas teruk akibat musim tengkujuh dapat menarik nafas lega selepas menerima bantuan kewangan dan barangan dapur daripada Kerajaan Negeri.

Pegawai Penyelarasnya, Mohd Fadhil Wahab berkata, bantuan ini memperlihatkan keprihatinan pentadbiran Terengganu terhadap golongan pelaut terkesan pendapatannya kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Seperti kebiasaan, di pantai timur akan mengalami tengkujuh pada bulan November sehingga Mac.

“Pada waktu ini, mereka tidak dapat keluar menangkap ikan dan tiada sumber pendapatan lain dan sampingan.

“Situasi sebegitu mengakibatkan situasi kewangan mereka sempit untuk menyara hidup,” katanya selepas ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, baru-baru ini.

Menemubual salah seorang penerima, Norbaizura Zainal Abidin, 41, menyuarakan apresiasinya kepada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus dan Seberang Takir atas sumbangan tersebut.

“Sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit sebanyak perbelanjaan barangan harian semasa musim hujan ini.

“Jadi, dengan adanya bantuan RM100 dan barangan dapur, kami bagi pihak Persatuan Nelayan Seberang Takir mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian pimpinan setempat memberi bantuan ini,” katanya

Sementara itu, Azanizan Abdullah turut menyuara sentiment sama melahirkan rasa terharu atas bantuan khusus tersebut.

“Terima kasih kepada pusat khidmat dan kerajaan negeri kerana mewujudkan bantuan ini khususnya nelayan di sini.

“Bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya.