• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

323,000 Penerima Dos Ketiga Vaksin Di Terengganu

HULU TERENGGANU, 25 September - Pemberian dos ketiga  vaksin Co­vid-19 di negeri ini akan melibatkan seramai 323,000 penerima.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, pemberian dos ketiga ini akan dimulakan sebaik sahaja menerima arahan pelaksanaannya di peringkat negeri.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 31,000 merupakan petugas barisan hadapan kesihatan diikuti 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komorbiditi.

“Proses suntikan berkenaan dijangka dilakukan di pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan atau hospital memandangkan PPV awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program vaksinasi Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, garis panduan mengenai proses agihan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 bakal dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan.

Katanya, ketika ini panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos berkenaan.

Dalam pada itu, Kasemani memberi jaminan Terengganu tidak mempunyai sebarang masalah berhubung bekalan vaksin bagi pemberian dos ketiga kerana mempunyai jumlah yang mencukupi.