• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

328 Jurumandi Jenazah, Pembantu Terima Elaun RM100 Sebulan

KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Kerajaan Negeri meneruskan pemberian insentif bulanan kepada Jurumandi Jenazah dan Pembantu Jurumandi Jenazah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebanyak RM100 sebulan dengan bayaran enam bulan pertama 2021 pada Julai ini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Dakwah) JHEAT, Zahari Sulong berkata, bayaran bagi enam bulan pertama 2021 akan dibuat pada Julai depan selepas mengalami sedikit kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal 2021.

Katanya, kerja kemaskini borang baharu sedang giat dilaksanakan dengan turut menyenaraikan penerima tahun sebelumnya.

"Pembayaran yang bermula sejak tahun 2019 hingga kini memberi manfaat kepada seramai 328 orang golongan sasar yang berdaftar.

“Semua ini ditambah lagi dengan peruntukan sebanyak RM720,000 setahun bagi pembayaran imbuhan pemandian jenazah dengan kadar RM100 kepada jurumandi dan RM50 kepada pembantunya, yang juga berjalan seperti biasa.

"Kerajaan Negeri juga turut menyediakan bantuan khairat kematian sebanyak RM2,000 bagi Jurumandi Jenazah dan Pembantu Jurumandi Jenazah berdaftar yang berkhidmat melebihi lima tahun. Manakala RM1,000 kepada yang  berkhidmat kurang daripada lima tahun,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Jelasnya, sumbangan insentif dan khairat kematian oleh kerajaan Terengganu itu adalah sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan atas khidmat bakti golongan itu dalam menunaikan tuntutan Fardu Kifayah kepada masyarakat Islam.

Untuk rekod, peruntukan pemberian elaun bulanan tersebut telah diumumkan semasa perbentangan bajet negeri 2019 daripada teras ketiga iaitu kebajikan.