• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

333 Calon SPM 2022 Terengganu Dapat Semua A

KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.59 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional 4.74.

Berita baik itu diumumkan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Abdul Muie Ngah pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2022 di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Abdul Muie berkata, seramai 18, 747 calon menduduki peperiksaan SPM 2022 di 176 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 333 calon memperoleh keputusan semua A (A+, A dan A-).

“Daripada jumlah itu, enam pelajar mencatatkan keputusan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Turut membanggakan apabila seorang calon berkeperluan khas (CBK) masalah penglihatan memperoleh 5A+ dan 2A dalam peperiksaan kali ini," katanya.

Menurut beliau, seramai 9,617 calon memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diambil.

Selain itu katanya, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu muncul sekolah terbaik dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.31, kategori sekolah semua A terbaik serta peningkatan semua A terbaik.

Tambahnya, terdapat lima sekolah yang merekodkan kecemerlangan apabila semua calonnya lulus semua mata pelajaran.

“Lima sekolah itu ialah Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Setiu, SM Imtiaz Kemaman dan SM Imtiaz Dungun.

"SMK Chalok (Model Khas) di Setiu pula muncul sekolah dengan peningkatan GPS terbaik iaitu 5.48 berbanding 6.65 pada tahun lalu," katanya.