• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

34 Bayi Merdeka Lahir Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Seramai 34 kelahiran bayi merdeka dicatatkan di Terengganu membabitkan 17 lelaki dan 17 perempuan.

Bayi Merdeka pertama dilahirkan kira-kira jam 12.24 tengah malam tadi seberat 3.51 kilogram oleh Mas Ayu Abdul Wahid, 34, hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Juniman Kartojo, 44.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dato Kasemani Embong berkata Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatatkan kelahiran tertinggi iaitu seramai 25 bayi.

"Ini diikuti Hospital Kemaman (4), Hospital Setiu (2) dan masing-masing satu (1) kelahiran di Hospital Dungun, Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Besut,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat kelahiran Bayi Merdeka di HSNZ, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Terengganu, Mohd. Nasir Kareem berkata, pemberian cenderahati dan sijil tahniah turut disampaikan sebagai tanda kesyukuran kelahiran bayi terbabit pada hari keramat, Hari Kebangsaan ke-65.

Katanya, kolaborasi dengan pengurusan HSNZ itu merupakan program pertama  anjuran JPN negeri sempena sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.

Tambah Mohd Nasir lagi, pihaknya juga mendapat kerjasama Co-opbank dan Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional(PTPTN) melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

Bagi Mas Ayu, walaupun sebelum ini doktor memaklumkan tarikh bersalin adalah pada 23 Ogos, tetapi dia selalu mengharap anak ketiganya lahir pada hari kemerdekaan.

"Selepas 'induce' saya dimasukkan ke dewan bersalin pada jam 4.30 petang dan selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.51 kilogran lapan jam kemudian.

"Tak sangka impian saya tercapai dan merasa gembira kerana  anak lelaki saya dilahirkan pada tarikh istimewa dan menjadi bayi merdeka pertama dilahirkan di Terengganu,"katanya yang mempunyai dua anak perempuan berusia 8 dan 6 tahun.

Jelasnya, dia dan suami sudah pasti akan meraikan tarikh itu dengan lebih meriah setiap tahun.