• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

3.5 Juta Peluang Kerja Tersedia Dalam Sektor Pelancongan

KUALA NERUS, 7 September - Sejumlah 3.5 juta peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada penduduk di negara ini sebelum  wabak COVID-19 melanda dunia dan juga Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, melihat kepada angka yang agak besar itu, ia menjadi tanggunjawab kerajaan untuk mengekalkannya walaupun negara masih dalam usaha memutuskan rantaian wabak itu.

Katanya, pelbagai usaha dijalankan kerajaan antaranya mengecualikan cukai pelancongan bagi tempoh bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021.

.

“Kerajaan juga memberi penangguhan bayaran ansuran anggaran cukai ke atas industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan sehingga hujung tahun ini.

“Langkah ketiga pengecualian cukai ke atas perkhidmatan penginapan turut diberi mulai 1 September hingga 30 Jun tahun depan.

"Langkah keempat adalah, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara, yang telah diberikan (sebelum ini) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi ‘focus group’ dan Dialog Bersama Pengusaha Pelancongan Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Muzium Negeri Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam rangka lawatan rasmi ke Terengganu selama dua hari mulai kelmarin.

 


Tag: