• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

36 Bazar Ramadan Di Kawasan MBKT

KUALA TERENGGANU, 15 Februari- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan 36 lokasi bazar Ramadan termasuk di daerah Kuala Nerus tahun ini.

Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh berkata, lokasi tersebut membabitkan 4,385 petak dengan 26 tapak membabitkan 3,694 petak di kawasan bandaraya manakala sepuluh tapak (691 petak) di Kuala Nerus.

Katanya, empat daripada 26 tapak bazar Ramadan akan diswastakan dan tender dijangka buka minggu depan.

"Empat tapak bazar Ramadan iaitu di Dataran Shah Bandar dan dua di kawasan tempat letak kereta serta di kawasan stesen teksi Kampung Tanjung, di sini akan diswastakan.

"Tender untuk tapak bazar Ramadan berkenaan akan dibuka minggu depan," katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan sama, Rozali berkata prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM)bagi menangani penularan pandemik Covid-19 akan disampaikan kepada peniaga bazar Ramadan.

"MBKT tidak akan bertanggungjawab jika bazar Ramadan diarahkan ditutup oleh KKM atas kesalahan mengabaikan pematuhan SOP.

"MBKT juga akan memulangkan bayaran pendahuluan kepada peniaga dan penganjur jika bazar Ramadan tidak dibenarkan dibuka susulan peningkatan kes Covid-19," katanya.