• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

36,341 Mangsa Banjir Terengganu Masih Berada Di 254 PPS

KUALA TERENGGANU- Seramai 36,341 mangsa daripada 9,769 keluarga masih ditempatkan di 254 pusat pemindahan sementara (PPS), di seluruh negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, memaklumkan, setakat 10 pagi ini Kemaman kekal daerah paling terjejas dengan 7,547 mangsa daripada 2,009 keluarga masih berada di 25 PPS.

“Seramai 7,281 mangsa daripada 1,752 keluarga pula berada di 67 PPS di Besut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sebanyak 41 PPS masih beroperasi di Dungun dengan 6,072 mangsa daripada 1,594 keluarga masih berlindung.

Tambah beliau, Hulu Terengganu masih mempunyai 5,738 mangsa daripada 1,921 keluarga yang berada di 45 PPS.

“Seramai 3,890 mangsa daripada 986 keluarga masih berada di 17 PPS di Kuala Nerus.

“Sebanyak 13 PPS yang mempunyai 2,863 mangsa daripada 751 keluarga masih dibuka di Kuala Terengganu,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, Setiu pula masih mempunyai 2,065 mangsa daripada 542 keluarga yang ditempatkan di 35 PPS daerah itu.

Manakala, seramai 885 mangsa daripada 214 keluarga berada di 11 PPS di Marang.