• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

367 Nelayan Terengganu Terima Bantuan

KEMAMAN, 13 September - Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyalurkan bantuan kepada 367 orang nelayan di seluruh daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sejumlah RM300,000 diperuntukkan bagi perolehan bantuan kepada nelayan.

Katanya, seramai 62 orang nelayan pesisir pantai dari daerah Kemaman menerima bantuan berupa peralatan nelayan.

“Bantuan peralatan tersebut adalah seperti pukat tangsi, alat mengesan ikan dan kawat bubu yang bersaiz 1.5 inci.

“Bagi bantuan alat mengesan ikan, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akan mengadakan kursus khas untuk para nelayan bagi menggunakan peralatan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi dan Penyerahan Bantuan Peralatan kepada Nelayan Pantai bertempat di Pantai Kuala Penunjuk, Kijal di sini hari ini.

Turut hadir, Pegarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.

Tambah Dr Azman, kerajaan negeri juga telah berusaha membantu para nelayan untuk mendapatkan lesen nelayan.

“Terengganu merupakan satu-satunya negeri  menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertindak bagi menyelesaikan masalah isu lesen nelayan.

“Penting bagi para nelayan untuk mendapatkan lesen nelayan untuk mendapatkan elaun sara hidup nelayan, minyak subsidi dan sebagainya,” katanya.