• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

3.681 Tan Sampah Dikutip Di Pantai

KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Sebanyak 3,681 tan sampah dikutip hanya dalam masa satu jam di lima lokasi pantai di seluruh Terengganu sempena Program Mega Bakti Rakyat. 

Program anjuran bersama Geng Plastik Ija dan Bank Rakyat itu telah berjaya menarik penyertaan seramai 700 orang sukarelawan. 

Ketua Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Dr Mohd Ariff Hafizi Fouzi berkata kutipan tersebut adalah yang terbesar dalam sejarah penubuhan Geng Plastik Ija. 

"Lima lokasi yang terlibat ialah Kuala Kemaman sebanyak 340 kg dan126 beg, Pantai Pancakan, Besut 415.2 kg dan 123 beg, Pantai Angin Berbisik, Marang sebanyak 1,714 kg, Pantai Kuala Ibai, Kuala Terengganu 783 kg, 200 beg plastik dan 12 biji tayar dan juga Pantai Tanjung Jara, Dungun 429.2 kg dan 131 beg, " jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Pegawai perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu itu juga berharap selepas ini pihaknya terus dapat bekerjasama lagi dengan mana-mana organisasi atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengadakan program di pantai-pantai sekitar Terengganu

"Untuk program hari ini, di Kuala Terengganu kita turut disertai oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Sains, Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak," katanya.

Arif turut memuji orang ramai yang telah mempunyai peningkatan kesedaran di mana sampah-sampah di pantai tumpuan orang ramai seperti Pantai Batu Buruk, Pantai Drawbridge dan Pantai Teluk Ketapang sudah berkurangan. 

Beliau yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang jitu dalam menjayakan program tersebut sambil menggesa penduduk di sekitar pesisir pantai Kuala Terengganu membantu melupuskan tapak-tapak pembakaran sampah haram di sekitar kawasan mereka dan menjaga kebersihan pantai

"Tumpuan utama Geng Plastik Ija selepas ini adalah di kawasan pesisir pantai yang tercemar akibat pembuangan sampah penduduk yang tinggal sekitar pantai Kuala Terengganu," katanya.


Tag: