KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Bengkel Pemantapan ADUN Belia Terengganu (T-Apprentice) menjadi medan persiapan akhir bagi 37 ADUN Belia dalam memantapkan usul dan idea sebelum menghadapi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Terengganu Penggal Ketiga 2026.
Pengerusi Urusetia Belia, Sukan dan NGO (UBSNT) Negeri, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, bengkel tersebut penting bagi memastikan ADUN Belia lebih bersedia untuk membawa serta membentangkan isu dan cadangan yang dekat dengan kepentingan golongan belia.
Menurutnya, sesi berkenaan turut memberi penekanan terhadap pemantapan usul selain menyediakan ruang kepada ADUN Belia untuk mendapatkan pandangan serta maklum balas secara langsung daripada pihak urusetia.

“Selain itu, saya turut menyelaraskan Focal Group Discussion (FGD) bagi mewujudkan sesi perkongsian idea dan cadangan secara dua hala antara ADUN Belia dengan UBSNT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Bengkel Pemantapan ADUN Belia Siri III (T-Apprentice) di Hotel Permai, di sini, hari ini.
Irsyad berkata, pendekatan perbincangan dua hala itu penting bagi membolehkan pihak urusetia memahami corak pemikiran generasi muda, khususnya kelompok Gen-Z yang mempunyai perspektif berbeza terhadap sesuatu isu.
“Saya bercadang untuk mengadakan sesi perbincangan dua hala antara ADUN Belia dengan UBSNT bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan untuk tindakan kami.
“Saya nak lihat sejauh mana golongan Gen-Z ini berfikir. Cara mereka fikir tidak sama seperti orang dahulu fikir,” katanya.
Menurut beliau, pandangan serta idea yang dikemukakan ADUN Belia akan menjadi input penting dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan belia di negeri ini.

Program T-Apprentice itu turut menjadi platform pendedahan kepada ADUN Belia untuk memperkukuh kemahiran perbahasan, penyediaan usul, pemikiran kritis serta memahami proses dan tatacara persidangan sebelum mereka menamatkan tempoh perkhidmatan pada hujung tahun ini.
Inisiatif berkenaan diharap dapat melahirkan barisan belia yang bukan sahaja berani menyuarakan pandangan, malah mampu mengemukakan cadangan yang konstruktif dan bersandarkan keperluan semasa masyarakat.