• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

3.8 Tan Bantuan Makanan Dihantar Ke Pulau Redang Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Sebanyak 3.8 tan bantuan beras dan barangan dapur dihantar kerajaan negeri ke pangkalan hadapan di Pulau Redang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan itu adalah persediaan awal bagi menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini.

"Kita akan menghantar bantuan ini di semua pulau yang ada di Terengganu memandangkan operasi keluar masuk di pulau-pulau telah ditutup.

"Bantuan ini akan disimpan di pangkalan hadapan dan ianya akan diagihkan kepada semua penduduk di sana pada masa yang sesuai," ujarnya. 

Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu telah memulakan proses penghantaran bantuan kepada 152 pangkalan hadapan melibatkan seluruh negeri sejak minggu lalu.

Jelas Hanafiah, ia bagi memastikan setiap kawasan akan menerima bantuan jika terputus bekalan makanan dan sebagainya akibat bencana banjir.

"Kita mengharapkan tidak berlaku banjir besar pada tahun ini. Namun begitu, kerajaan negeri bersama agensi kerajaan yang terlibat sentiasa bersiap sedia dalam apa jua kemungkinan yang boleh berlaku," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu.

Proses penghantaran bantuan hari ini turut mendapat kerjasama daripada APMM yang menyediakan pengangkutan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Turut hadir ketika tinjauan tersebut, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.


Tag: