• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

38,114 Pelajar Tingkatan 4 Dan 5 Terima Vaksin Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 September - Seramai 38,114 pelajar tingkatan 4 dan 5 di negeri ini mula menerima suntikan pertama vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr Kasemani Embong berkata proses vaksinasi semua pelajar itu akan dilakukan di 56 sekolah di seluruh negeri yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin(PPV).

Katanya, kesemua pelajar adalah dari sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk sekolah menengah agama dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

"Suntikan dos pertama akan diberikan kepada pelajar terlibat bermula hari ini dan dijangka dilengkapkan menjelang 2 Oktober.

“Maklum balas yang diterima daripada golongan pelajar sendiri rata-ratanya positif, dengan majoriti daripada mereka bersemangat untuk berdaftar mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau  program vaksinasi pelajar tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, lebih 800 pelajar dari tiga sekolah iaitu SMK Padang Negara, SMK Sultan Sulaiman dan SM Agama Atas Sultan Zainal Abidin menerima suntikan dos pertama Pfizer.

Tambahnya, bagi remaja yang tidak bersekolah dan bersekolah di luar daerah pula, mereka boleh dapatkan vaksin di PPV dan klinik kesihatan berhampiran.

Sementara itu, JKNT turut merekodkan hampir 8,000 pelajar yang mempunyai masalah kesihatan telah membuat rujukan di klinik kesihatan di seluruh daerah.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 98 telah menerima suntikan bermula 15 September baru-baru ini dan bakinya akan menyusul,"ujarnya lagi.

Salah seorang pelajar yang ditemui, Muhammad Luqman Hakim Syazril Syahlan, 17, dari SMK Padang Negara berkata dia cukup teruja untuk menerima suntikan dos pertamanya hari ini.

"Rasa lebih selamat, yakin  apabila melangkah ke sekolah nanti dan saya berharap suntikan vaksin itu sebagai 'penawar' kepada rindu pada masa di sekolah sebelum pandemik melanda,"katanya.

Bagi Nuraleesya Sufia Che Rosli, 17, juga dari SMK Padang Negara,  berharap dapat masuk sekolah segera supaya lebih bersemangat untuk belajar dengan rakan-rakan yang lain tanpa ada rasa bimbang kerana sudah divaksin.

"Saya rindu zaman sekolah sebelum pandemik apabila kita semua dapat bersemuka dengan guru, kawan-kawan dan buat aktiviti kurikulum bersama,"ujarnya.