Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
381.4kg Sampah Dikumpul di Pantai Pandak
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Sebanyak 381.4 kilogram sisa sampah dan botol plastik berjaya dikutip dalam Program Santuni Alam 3.0 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Terengganu di Pantai Pandak, Chendering, di sini hari ini.
Pengarah Program, Dr. Najdah Abd Aziz berkata, aktiviti yang berbentuk gotong-royong dan pendidikan alam sekitar ini melibatkan seramai 30 orang pelajar serta serta staf UiTM daripada gabungan tiga kelab iaitu Kelab ResQ, Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), dan Kelab Minda Islam (KMI).
Menurutnya, pemilihan Pantai Pandak sebagai lokasi program adalah kerana ia merupakan kawasan tumpuan pengunjung dan pelancong, terutama pada hujung minggu.
"Namun, keindahan pantai ini kerap tercemar akibat sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati.
“Kutipan lebih 380 kilogram sampah hari ini membuktikan bahawa kesedaran terhadap kebersihan alam sekitar masih berada pada tahap yang membimbangkan," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Turut serta dalam program ini ialah 15 ahli Geng Plastik Ija (GPI) Cawangan Kuala Terengganu, 10 staf dan pensyarah UiTM, serta 6 orang guru dan 64 murid dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan komuniti setempat.
Dr. Najdah berkata, perkara ini bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi perlu dipikul bersama oleh semua lapisan masyarakat.
"Program ini memberi fokus kepada pendidikan sivik dan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan komuniti, dengan harapan dapat menyemai sikap prihatin terhadap kebersihan dan kelestarian alam.
“Program seperti ini bukan sekadar bersih-bersih pantai, tetapi platform mendidik dan mengajak masyarakat menjadi ejen perubahan demi masa depan alam sekitar yang lebih lestari,” tambah Dr. Najdah.