• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

391 Kes, Angka COVID-19 Terengganu Semakin Membimbangkan

KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kes positif harian COVID-19 di Terengganu semakin membimbangkan selepas mencatatkan 391 kes baharu hari ini dan 171 semalam.

Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, daerah Dungun mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 203 kes diikuti Marang (99 kes) dan Kemaman (56 kes).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga kini sebanyak 13,548 kes.

“Data saringan kluster sehingga semalam turut merekodkan 32 kes baharu melibatkan 11 kluster di dalam negeri, kluster terbaharu dicatatkan sehingga 12 tengah hari tadi adalah Kluster Padang Pulut.

“Manakala jumlah kematian harian adalah 3 orang dengan kes yang sedang dirawat adalah seramai 1,201 orang,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang tadi.

Tambah kenyataan itu lagi, kategori kes positif tertinggi adalah melibatkan kategori satu menunjukkan 336 kes diikuti kategori 2 (48 kes) dan kategori tiga (7 kes).

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan.

“Ini membabitkan lokaliti Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dilanjutkan bermula 24 Julai sehingga 6 Ogos depan," jelasnya.

Dalam pada itu, dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun juga sedang menjalani PKPD yang berkuatkuasa semalam sehingga 3 Ogos.