• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

4 Beradik Bertekad Tunai Hasrat Arwah Ibu


Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 27 Februari - Empat beradik bertekad menunaikan hasrat arwah ibu menginfaqkan rantai emas bagi kegunaan orang ramai sekali gus menggunakan hasil jualannya untuk membeli sebuah katil nursing bagi kegunaan pesakit kronik.

Mereka yang kebanyakannya kakitangan kerajaan dan swasta membeli sebuah katil berkenaan melalui sebuah syarikat perniagaan dengan nilai RM3,300.00 kemudian menyerahkannya kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura untuk tujuan tersebut.

Wakil mereka Nurul Aisyah Mustaffa, 30, Penyelia Asrama Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang dan pasangannya Muhammad Sufian Yusuff, 33, Penolong Jurutera di Kompleks Mahkamah Kuantan, Pahang menyerahkan katil berkenaan kepada Penyelia Hal Ehwal Masyarakat, Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS), Mohd Yusof Ismail di Pejabat DUN berkenaan di sini 23 Februari lalu.

Katil berkenaan berukuran tujuh kali empat  kaki  dan tinggi, tiga setengah kaki untuk kegunaan pesakit strok kerana ada kemudahan untuk mengiringkan badan. 

Nurul Aisyah ketika ditanya pemberita, berkata beliau dan tiga adik beradik yang lain sudah lama berhasrat untuk menyumbangkan katil nursing itu kepada DUN Sura bagi kegunaan pesakit tersebut.

“Selepas kematian arwah emak (Rokiah Idris), saya berbincang dengan kakak untuk sedekah jariah bagi emak kami dan katil ini adalah keputusan sebulat suara kami untuk tujuan itu,” katanya.

Adik beradik beliau itu ialah Noradawiyyah Mustaffa, 40, Pegawai Kewangan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, Nurul Najmiah Mustaffa, 39, Guru Sekolah Kebangsaan Batu 7, Dungun dan Muhammad Mustaffa, 36, Guru Memandu di sebuah syarikat sekolah memandu di Bukit Besi, Dungun.

Sementara itu Mohd Yusof ketika ditemui berkata Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura mengucapkan terima kasih atas sumbangan itu dan akan dimanfaatkan untuk pesakit berkenaan.

“Kami berterima kasih kepada Puan Nurul Aisyah dan keluarga yang berbesar hati menginfaqkan katil ini untuk kegunaan kebajikan.

“Saya mengalu alukan kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang untuk keperluan masyarakat di Dun Sura ini,” tambah beliau.

Sementara itu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura telah memperuntukkan sebanyak RM15,000 sebulan untuk membantu lebih 180 keluarga yang memerlukan bantuan kebajikan setiap bulan di DUN berkenaan.



Tag: