• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

4 Masjid Di Hulu Terengganu Terima Sumbangan JAWI

 

HULU TERENGGANU, 27 Mac - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memperuntukkan sebanyak RM100 ribu bagi membantu empat masjid, di Hulu Terengganu yang terjejas akibat banjir luar jangka yang melanda pada akhir Februari lalu.

Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail berkata, jumlah tersebut diperuntukkan bagi membantu Masjid Kampung Gunung,Masjid Kampung Betong,Masjid Kampung Bukit Gemuruh dan Masjid Kampung Padang Setar yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, Muhammad Ash-Shafie Abd Manan, kerosakan karpet dan peralatannya lain memerlukan penyelenggaraan serta mengambil kira bulan puasa yang hampir tiba telah dikenal pasti.

"Kami amat simpati dengan bencana banjir ini dan sumbangan RM25,000  ini adalah tanda ingatan daripada kami. 

"Saya juga telah menghubungi Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Negeri Terengganu (JHEAT) sekiranya ada keperluan di masa akan datang untuk kita memberi bantuan sebagai tanda keprihatinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir Kepada Empat Buah Masjid Di Hulu Terengganu, semalam.

Sementara itu ADUN Ajil, Maliaman Kassim, berkata hikmah yang paling besar di sebalik banjir yang berlaku baru baru ini adalah keprihatinan masyarakat luar menghulurkan sumbangan,baik dari segi keperluan, kewangan dan tenaga.

"Di samping itu ramai lagi penyumbang dari luar Terengganu yang terus ke lokasi. Kepada mereka juga saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih.

"Sumbangan dari JAWI hari ini amat saya alu-alukan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban akibat banjir. Kehadiran JAWI membuktikan yang masyarakat Malaysia prihatin dengan nasib masyarakat yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini," katanya.