• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

40 Jenis Barangan Keperluan Disediakan Bantu Ringan Beban Penduduk

KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Hampir 40 jenis barangan keperluan asas disediakan di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam bagi membantu penduduk terdesak dan mengalami masalah kewangan sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua ketika ini.

ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan, sebahagian besar barangan tersebut merupakan hasil sumbangan beberapa syarikat tempatan, NGO serta individu yang berjaya dikumpulkan.

Menurutnya, penyelaras program menghadkan lima barangan sahaja untuk dibawa pulang bagi seorang penerima.

"Tetapi, ia juga bergantung kepada situasi keadaan serta keperluan mereka yang akan direkodkan sebagai sumber maklumat.

"Kesemua barangan tersebut diletakkan luar pejabat Pusat ini yang beroperasi pada waktu pejabat, bagi memudahkan penerima memilih barangan diperlukan," katanya.

Beliau yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri berkata demikian selepas menyempurnaka pelancaran projek It’am At-To’aan iaitu Bank Makanan peringkat DUN berkenaan, di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam, semalam.

Jelasnya, usaha itu perlu dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu meringankan beban yang ditanggung penduduk setempat.

Wan Sukairi juga telah meminta 35 buah JPKK di bawah kawasannya membuka dan menyediakan Bank Makanan di kampung masing-masing.

 


Tag: