• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

40 Pelajar Pertama Mula Sesi Pembelajaran Di Darul Huffaz TATI Skill





KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Darul Huffaz TATI Skill (DHTS) yang bertempat  di TATI Skill Sdn. Bhd., Jalan Panchor, Teluk Kalong, Kemaman memulakan sesi pembelajaran pertama pada 1 Januari lalu dengan pengambilan 40 pelajar.

DHTS yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu menawarkan mata pelajaran sama seperti aliran sekolah arus perdana selain memfokuskan bidang sains teknikal (tujuh subjek) dan pengurusan dan perniagaan (enam subjek).

Pengurus Besar TATI Skill, En Zaidi Muda berkata, buat permulaan, pihaknya menerima 40 pelajar hasil  promosi  ke beberapa madrasah dan mahaad tahfiz.

Katanya, tawaran belajar di DHTS akan diperluaskan melalui pelbagai saluran,  selain terus mendekati pelajar madrasah dan mahaad tahfiz di seluruh Terengganu.

“Pendekatan itu dijangka mampu menarik minat lebih ramai pelajar daripada 40 pelajar di awal pembukaan madrasah berkemungkinan mampu mencapai sasaran sehingga 200 pelajar pada tahun seterusnya.

“Seramai tujuh tenaga pengajar berpengalaman dan profesional sedang berkhidmat dan jumlah itu akan bertambah mengikut keperluan semasa dan jumlah pelajar,”katanya ketika dihubungi Teganukita.

En Zaidi turut memberitahu, syarat  kelayakan  sekurang-kurangnya berumur 16 tahun ke atas, perlu menghafaz 10 juzuk al Quran, lulus ujian bertulis dan temuduga khas.
Katanya, syarat lain terbuka kepada warganegara Malaysia lelaki dan perempuan dengan mengutamakan pelajar Terengganu.

“DHTS menawarkan pelbagai keistimewaan antaranya bantuan pembiayaan pendidikan dari Yayasan Terengganu, berpeluang mendapat pendidikan asasi secara percuma di TATIUC bagi yang berkelayakan.

“Urusan peperiksaan SPM diselia penuh oleh TATI Skill dan program tasmik berterusan yang dipantau oleh badan bertauliah,” katanya.

Menurutnya, lebih menarik  kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memberi tajaan penuh kepada anak Terengganu golongan asnaf dan B40 (pendapatan isi rumah RM3,860 kebawah.

“Pihaknya berhasrat menjadikan DHTS sebagai pusat persediaan SPM utama di Terengganu khususnya kepada pelajar tahfiz dan pondok dengan menawarkan kaedah pembelajaran akademik yang sistematik,” katanya 

Pendaftaran untuk kemasukan ke DHTS dilanjutkan sehingga 31 Januari khas buat pelajar dari madrasah madrasah dan pondok di seluruh Terengganu. Boleh hubungi pejabat DHTS di talian 09-860 1103 atau 010-921 1245


Tag: