• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

40 Peratus Daftar Vaksin Di Dungun

DUNGUN, 16 Jun - Hanya 40 peratus individu yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Dungun sehingga kini.

Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, Dr Fathul Hakim Hamzah berkata, kesedaran orang ramai sangat penting kerana suntikan ini untuk mengekang penularan pandemik COVID-19. 

"Kerjasama orang ramai amat diperlukan memandangkan peratusan mereka yang mendaftar masih rendah di Dungun.

"Sehingga kini 51,000 orang yang sudah mendaftar untuk suntikan vaksin dan hanya 40 peratus daripada sasaran kita, maksudnya masih ramai lagi di daerah ini yang belum mendaftar," jelasnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Dungun yang diketuai Ab Hamid Ismail di pejabatnya di sini.

Katanya, daripada jumlah yang mendaftar tersebut, seramai 9,000 telah menerima suntikan vaksin.

"Jadi saya harap anak-anak bantu mak ayah dikampung untuk daftar vaksin, bantu orang-orang kampung untuk daftar kerana vaksin adalah ikhtiar kita untuk hentikan penularan wabak COVID-19, " ujarnya.

Menurut beliau, terdapat dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ataupun Pusat Suntikan Vaksin Awam di daerah berkenaan iaitu di Dewan Aspirasi, Universiti  Teknologi MARA (UiTM) Dungun dan Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA).

Beliau turut mengingatkan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan pelbagai khabar angin negatif tentang vaksinasi COVID-19.

"Jika ada apa-apa persoalan boleh bertanya kepada mereka yang berautoriti dan bertanggungjawab, " katanya. 

Katanya lagi, vaksinasi adalah salah satu cara di dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengurangkan seminima mungkin wabak tersebut.

"Selain itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Sepenuhnya (Total Lockdown) yang dilanjutkan lagi selama dua minggu, jadi sama-sama kita patuhi untuk putuskan rantaian jangkitan sepanjang dua minggu ini, 'stay at home', hanya keluar jika ada keperluan mendesak, pakai pelitup muka dan kerap basuh tangan, " ujarnya. 


Tag: