Berita :
Warga Setiu Gembira Terima Klinik Kesihatan Baru
Warga Setiu Gembira Terima Klinik Kesihatan Baru
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
6 jam yang lepas
70


SETIU, 16 Jun – Rakyat Setiu menerima khabar gembira apabila pembinaan Klinik Kesihatan Baharu Permaisuri dan Kompleks Kesihatan Setiu yang merangkumi Pejabat Kesihatan Daerah Setiu telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM76 juta di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dalam masa yang sama, projek pembinaan Klinik Kesihatan Jabi turut disenaraikan sebagai projek keutamaan nombor satu negeri Terengganu di bawah Rolling Plan 2 (RP2), RMK13 dengan anggaran kos sebanyak RM61 juta.

Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata perkembangan tersebut merupakan hasil usaha berterusan yang telah diperjuangkan sejak beliau mula diamanahkan sebagai wakil rakyat Parlimen Setiu.

Menurut beliau, isu kemudahan kesihatan di daerah itu selama ini sering dibangkitkan dalam persidangan Parlimen berikutan keperluan yang semakin mendesak, khususnya melibatkan Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri yang dibina sejak tahun 1976 dan kini berdepan masalah kesesakan.


Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah Setiu yang masih beroperasi di bangunan sewaan turut berdepan risiko banjir, menjadikan pembinaan kompleks kesihatan baharu sebagai satu keperluan yang amat penting.

Beliau turut menjelaskan bahawa Klinik Kesihatan Jabi yang telah beroperasi lebih 60 tahun kini menampung kira-kira 35,000 penduduk, sekali gus memerlukan kemudahan baharu yang lebih selesa dan sesuai dengan keperluan semasa.

“Alhamdulillah, ini adalah berita yang amat dinantikan oleh rakyat Setiu. Insya-Allah, usaha memperjuangkan kemudahan kesihatan yang lebih baik akan diteruskan demi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan