• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

400 Anak Muda Berkonvoi Semarak Hari Arafah

KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Lebih 400 anak muda berkonvoi menyemarakkan Sambutan Penghayatan Hari Arafah peringkat negeri Terengganu, hari ini.

Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah berkata, aktiviti berkonvoi itu merupakan julung kalinya diadakan untuk menarik minat anak muda.

"Ini gimik sahaja, tetapi dengannya kita dapat mengumpulkan ramai anak muda untuk berhimpun mendengar pengisian utama yang dijadualkan.

"Selain itu, kita ingin memberikan 'gema' isyarat kepada orang ramai bahawa ini hari Arafah yang perlu diraikan dengan memperbanyakkan ibadah menerusi cara anak-anak muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ketibaan konvoi sempena Sambutan Penghayatan Hari Arafah anjuran kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan Dakwah dan Penerangan negeri, di Dataran Shahbandar, di sini hari ini.

Dalam program berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi melakukan 'flag off' bagi aktiviti konvoi bermotosikal dari Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) ke Dataran Shahbandar.

Program diteruskan dengan ceramah penghayatan Hari Arafah oleh Mantan Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifli Muda.

 Kemuncak program, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim turut hadir merasmikan penutupan acara dan disudahi dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: