• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

400 Orang Ibu Tunggal Terima Baucer Barang Harian

DUNGUN, 8 Jun - Seramai 400 orang ibu tunggal di daerah ini menerima baucer berupa pembelian barang keperluan harian. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, ia merupakan salah satu insentif kerajaan negeri kepada mereka yang layak.

"Sepanjang lima tahun pemerintahan, kerajaan negeri telah memberikan pelbagai manfaat kepada wanita Terengganu, antaranya termasuklah, Baucer Pakej Berpantang Buat Ibu Bersalin, Peruntukan RM1 juta bagi meneruskan program 'Home Manager' yang menyediakan peluang pekerjaan untuk wanita.

"Pemberian tunai 'one-off' kepada ibu tunggal, Pelancaran Dasar Wanita Terengganu, Penubuhan Urus Setia Wanita Terengganu, Program Saringan Pap Smear dan Mamogram secara percuma, Tabung Siti Khadijah melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu," jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Paka berkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Ibu Tunggal Terengganu (HIT) Peringkat Daerah Dungun 2023, di Dewan Darul Ansar, Dungun pada hari ini.

Menurutnya, beliau sangat yakin rakyat semestinya bijak menilai kepimpinan kerajaan yang sedaya upaya mengangkat Terengganu ke arah sebuah negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera. 

Beliau menambah, banyak peluang yang pihak kerajaan sediakan yang seharusnya mereka ceburi dalam bidang tersebut.

"Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) juga ada menganjurkan Program Cakna Ibu Tunggal yang dilaksanakan bertujuan untuk menyatu dan memperkasakan jati diri golongan ibu tunggal supaya segala permasalahan dan kebajikan mereka dapat dibantu. 

"Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menawarkan pelbagai bantuan kepada ibu tunggal antaranya termasuklah bantuan bulanan, bantuan penyaraan kanak-kanak, bantuan anak pelihara, bantuan sekolah (sekiranya mempunyai anak-anak bersekolah) dan banyak lagi," tambah Satiful.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar rakyat terus menyokong dan mengekalkan kerajaan pada hari ini agar program-program dakwah dapat diteruskan demi kebaikan  bersama.
 


Tag: