• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

4,000 Penduduk Sura Terima Vaksin Dos Pertama

Oleh: Naim Fadhilah Kamaruddin

Dungun, 9 Ogos - Seramai 4,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menerima suntikan dos pertama vaksinasi COVID-19 dalam pelaksanaan Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bermula 1 Ogos lalu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, pelaksanaan program MOVAK dibawah Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu diteruskan memandangkan peratusan penduduk di Dungun yang telah menerima vaksin masih lagi rendah.

"Program vaksinasi ini merupakan satu langkah yang sangat baik dan perlu digiatkan lagi memandangkan kadar pencapaian PICK Dos 1 terkini, Dungun masih lagi mencatatkan peratusan yang terendah.

"Langkah awal perlu diambil melalui pencapaian imunisasi kelompok di kalangan masyarakat ini memandangkan Dungun adalah kawasan yang kritikal dengan catatan kes harian yang tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Sivik Bijangga.

Wan Hapandi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi tersebut terutamanya kepada petugas daripada Komuniti Rukun Tetangga dan juga Jabatan Amal Dungun.


Tag: