• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

4,000 Perantau Hadir Berbuka Puasa Bersama MB

SERDANG, 1 April - Lebih 4,000 anak Terengganu di perantauan hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Terengganu hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran ramai anak perantau itu menandakan semangat persaudaraan yang kuat dalam kalangan rakyat Terengganu.

Katanya, pertemuan itu juga sangat bermakna kepada Kerajaan negeri dalam memastikan hubungan erat terjalin antara perantau dan Kerajaan negeri.

"Boleh bersama berada dalam majlis berbuka puasa dengan semangat persaudaraan tidak kira dari daerah mana semua dapat berkumpul.

"Sudah tentu semua diantara kita ini berasa bangga menjadi anak- anak Terengganu yang telah melakukan pencapaian yang hebat dalam semua bidang di persada negara dan antarabangsa lagilah perlu berbangga menjadi anak Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan negeri bersama Anak Terengganu di perantauan, di Dewan A, MAEPS Serdang di sini.

Untuk rekod program tahunan itu bermatlamat untuk mendekatkan kepimpinan Kerajaan negeri dengan perantau.

Dalam majlis berkenaan tujuh pemimpin kerajaan negeri hadir sesi ramah mesra dan soal jawab berkaitan pembangunan negeri.

Antara yang hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak.

Selain itu turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Komuniti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kebaikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Pengerusi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Juga turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd  Nur Khuzaini A.Rahman.

Sementara itu Wan Sukairi berkata, sesi ramah mesra yang diadakan itu merupakan peluang yang sangat besar kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri untuk mendengar segala pandangan dan cadangan demi kebaikan seluruh rakyat Terengganu termasuk yang berada di perantauan.

"Walaupun jauh berada, namun hubungan ini perlu sentiasa dipereratkan, dan perantau Masih mempunyai tanggung jawab untuk memberi segala cadangan dan pandangan yang sangat diperlukan untuk kebaikan bersama.

"Terima kasih kepada semua perantau yang sanggup datang berbuka dengan kepimpinan Kerajaan negeri," ujarnya.


Tag: