• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

40,000 Kenderaan Dijangka Masuk Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Januari – 40,000 kenderaan dijangka memasuki Terengganu setiap hari pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superitenden Ismail Man berkata dengan kemasukan kenderaan tersebut boleh menyebabkan kesesakan yang teruk.

Katanya, peningkatan kesesakan jalan raya sekali ganda berbanding hari biasa itu dijangka bermula esok secara berperingkat.

“Kemasukan kenderaan 40,000 sehari itu dijangka bermula 20, 21, 24 dan 25 Januari ini.

“Sebanyak 240,000 turut dianggarkan akan memasuki negeri ini sama ada pulang ke kampung atau bercuti bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jalan Pesisir Payang (Pulau Warisan), Kuala Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Tambah Ismail, 17 pegawai dan 142 anggota ditugaskan bagi melancarkan trafik sepanjang Ops Selamat dengan mengadakan rondaan di kawasan tertentu bermula hari ini hingga 27 Januari.

Sementara itu, pihaknya juga telah mengenal pasti lima kawasan panas yang sering berlaku kesesakan dan perlu diberi tumpuan.

“Ia melibatkan empat daerah iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut manakala kawasan hitam adalah 20 kawasan,” katanya.

Sehubungan itu, kita akan menempatkan rondaan PDRM dan juga Ops Payung di kawasan tersebut.

 


Tag: