• 22 Okt 2024 | 19 Rabiul Akhir 1446

406 Kilogram Sisa Sampah Berjaya Dikutip

KUALA TERENGGANU, 9 Julai- Sebanyak 406 kilogram (kg) sisa sampah berjaya dikutip menerusi Program Gelombang Kasih Sejagat di Pantai Tok Kita (belakang Sk Chendering), baru-baru ini.

Jumlah berkenaan dikumpulkan dalam program kolaboratif antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Geng Plastik Ija, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Universiti Malaysia Terengganu, Sekolah Kebangsaan Chendering dan komuniti setempat.

Ketua Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Zalina Zakaria berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk membersihkan kawasan pesisir pantai berkenaan serta menghapuskan kawasan pengumpulan dan pembakaran sampah haram di lokasi tersebut. 

Jelasnya, usaha tersebut secara tidak langsung turut membantu kelestarian pantai Tok Kita sebagai lokasi tarikan terbaharu tempat ‘healing’ penduduk tempatan mahupun pelancong.

"Program kali ini disertai pelajar PJJ UUM, 10 orang ahli GPI, 7 orang pelajar UMT, 34 orang murid SMKSS serta 30 orang murid SK Chendering turut serta menjayakan program ini.

"Program sebegini akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa supaya kawasan persisir pantai akan terjaga, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program terbabit.

Turut hadir bersama memeriahkan program berkenaan ialah Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong.


Tag: