• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

44 Pasukan Berentap Dalam Kejohanan Terengganu Royal 7's

KUALA NERUS, 12 November- Sebanyak 44 pasukan dari pelosok Malaysia turun berentap dalam Kejohanan Ragbi Terengganu Royal 7's, bermula hari ini.

Kejohanan yang julung kali diadakan di Kuala Nerus itu merupakan kejohanan bertaraf kebangsaan dan menjadi antara penganjuran kejohanan ragbi tujuh sepasukan terbesar di pantai timur.

Kejohanan ini mempertaruhkan Piala Tengku Muhammad Ismail sebagai perebutan utama kategori terbuka lelaki selain hadiah kemenangan bernilai RM10,000, hadiah kewangan antara tertinggi pernah ditawarkan dalam penganjuran sukan ragbi tanah air.

Selain itu, kategori lain yang dipertandingkan ialah terbuka wanita dan lelaki bawah-22 yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai RM5,000 bagi setiap kategori.

Tuan rumah menampilkan enam pasukan terdiri Hanelang Warriors, Hanelang 7s White, Kemaman Rugby dan Marang Rugby bagi kategori terbuka lelaki manakala kategori terbuka wanita pasukan tuan rumah dikenali sebagai Hanelang Ladies 7s.

Hanelang 7s Black mewakili pasukan tuan rumah bagi kategori Lelaki U22(Bawah usia 22 tahun) yang memfokuskan penyertaan pasukan Sukan Malaysia(SUKMA). 

Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad dan boleh ditonton secara langsung melalui Facebook Ragbi Online.

 


Tag: