• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

440 Warga Emas Terima Kad Rawatan Kesihatan Percuma

KEMAMAN, 1 Jun - Seramai 440 warga emas di Dewan Undangan Negeri Air Putih di sini mendapat kad sejahtera atau bantuan kesihatan di klinik swasta secara percuma. 

Para pemegang Kad Sejahtera layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan sehingga RM500 setahun di mana-mana klinik panel terpilih di Negeri Terengganu dengan penggunaan maksimum RM70 setiap kali mendapat rawatan.

ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, kerajaan negeri sentiasa komited bagi memastikan setiap rakyat di negeri ini menerima kemudahan untuk mendapatkan rawatan kesihatan terbaik menerusi pelaksanaan kad sejahtera itu.

"Mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapat rawatan dengan nilaian RM500 setahun di klinik panel terpilih bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.

"Secara tidak langsung Kad Sejahtera ini mampu memberi pilihan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta terpilih sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan.

"Diharapkan semua penerima dapat manfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini," katanya yang ditemui dalam Majlis Taklimat dan Penyerahan Kad Sejahtera di Dewan Sri Amar, Kemaman, di sini kelmarin. 

Sementara itu, bagi seorang penerima Rokiah Senik, 67, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan inisiatif kad sejahtera dan juga sentiasa menjaga kebajikan masyarakat setempat.

"Golongan yang berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan setiap keluarga antara golongan sasar yang layak menerima bantuan sekali gus membantu penerima untuk mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik swasta (panel yang berdaftar) berhampiran tempat tinggal mereka," katanya.


Tag: